Melaka Destinasi Makanan Selamat Dunia


Ekspo Makanan Selamat 2015

Safe Food 2015 atau Ekspo Makanan Selamat 2015 telah berlangsung dari 18-20 September 2015 di Plaza Angsana Johor Bharu, Johor dan dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Johor, Melaka dan Negeri Sembilan serta Persatuan Keselamatan Makanan Malaysia (MAFSA).  Ekspo ini telah dirasmikan oleh YB. Datuk Haji Ayub bin Rahmat, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor.

Penganjuran Ekspo Makanan Selamat 2015 merupakan platform bagi pelbagai pihak berkepentingan dalam keselamatan makanan untuk mempromosikan produk makanan selamat kepada orang ramai serta memperkasakan Enterprise Kecil dan Sederhana (EKS) bagi menepati standard keselamatan dan kualiti makanan antarabangsa. Ekspo dengan tema Safe Food is Good Food atau Makanan Selamat Pilihan Terbaik telah membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam mewar-warkan kepentingan keselamatan makanan dari segi kesihatan dan juga pencapaian ekonomi Negara.

Sementara itu, enam buah syarikat EKS telah dipilih menerima Anugerah Best SME-Safe Food sempena ekspo kali ini iaitu Nis Spice Manufacturing, Perusahaan Mas Sdn. Bhd., Mama G Food Industry, Cahaya Mala Enterprise, Sahabat Ikhtiar Sdn. Bhd. dan Malaysia Yogurt Sdn. Bhd..  Anugerah Best SME ini diberi  kepada syarikat yang mempunyai inisiatif di dalam meningkatkan kualiti dan keselamatan produk makanan, di samping konsisten melaksanakan sistem jaminan keselamatan makanan di kilang.  Manakala Anugerah Best Product (Quality and Innovation) pula telah dimenangi produk rempah-ratus yang dihasilkan oleh Anjaad Industries Sdn. Bhd. (Melaka), bebola serta mee sayuran oleh Rabbisyfina Food Industry (Johor) dan snek buah-buahan dari syarikat Cemara Food Industry (Johor). 

Seterusnya pelbagai aktiviti telah dijalankan disepanjang ekspo seperti pertandingan menghias kek dan buah, Forum Keselamatan Makanan Mengikut Perspektif Islam, showcase oleh industri, pertandingan mewarna safe food kanak-kanak dan food safety explore race. Bersempena dengan ekspo ini juga, sebanyak 12 buah EKS Makanan dari Negeri Melaka turut serta.  Akhirnya, dalam memperkasa pengguna memilih produk makanan selamat, pihak KKM dan Jabatan Kesihatan Negeri akan berterusan melaksanakan aktiviti-aktiviti promosi keselamatan makanan bagi meningkatkan kesedaran terhadap keutamaan memilih makanan yang bersih dan selamat.

oleh Khaidir